Friday, March 13, 2009

kemuliaan mengingati mati

ALLAH berfirman bermaksud: “(Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk ayat 2).

Allah memulakan ayat ini dengan menyebut perkataan 'mati' terlebih dulu sebelum menyebut perkataan 'hidup'. Apabila seseorang itu sentiasa mengingati mati, maka dia akan lebih tenang menghadapi segala ujian Allah. Ujian itu hanya proses untuk mendapat kejayaan daripada Allah.Kematian adalah suatu perkara yang tidak dapat dihindari dengan apa cara sekalipun.

Mati adalah perpisahan nyawa daripada jasad seseorang yang menjadikannya musnah dan hancur dimakan ulat dan tanah. Kematian bukanlah suatu kesudahan daripada segala-galanya. Sebenarnya ia adalah proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh (kubur) dan suatu kehidupan manusia dalam bentuk yang lain.

Mengingati saat kematian akan menenangkan manusia dan mengingatkan kita bahawa setiap yang hidup akan kembali kepada Allah. Segala detik hidup yang sedang dilalui ini adalah bersifat sementara. Proses kehidupan ini amat singkat sebelum berpindah ke alam lain. Islam menganjurkan manusia supaya sentiasa mengingati mati dan mempelajari pula hakikat mati itu supaya kita dapat menempuh mati dengan penuh pengertian dan kesedaran.

Hakikatnya kematian memisahkan manusia daripada segala yang dikasihi dan dimiliki seperti anak-anak, harta benda dan kemewahan hidup. Bekalan yang dapat dibawa hanyalah amal salih yang dikerjakan ketika hidup di dunia ini. Sungguh rugi jika tidak melakukan amal ibadat ketika hidup di dunia ini.Ketahuilah Allah akan mengazabkan sesiapa saja yang lalai mengerjakan perintah-Nya.

Allah berfirman bermaksud: "Tiap-tiap yang hidup akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Surah al-Anbia, ayat 35).

Mengingati mati banyak hikmahnya. Antaranya dapat mencegah seseorang daripada melakukan maksiat. Ia juga mampu melembutkan hati yang keras. Saat-saat kematian jarang sekali diingat seseorang yang sedang mengalami kesenangan dalam hidupnya, melainkan dia akan merasakan kesempitan hidup. Sesiapa yang banyak mengenang perihal kematian akan diberi tiga sifat kemuliaan.

Pertama, sentiasa bersegera melakukan taubat.

Kedua, tidak tamak terhadap keduniaan.

Ketiga, akan memiliki kesungguhan dan motivasi untuk beribadat.

Sebaliknya, sesiapa mengabaikan perihal kematian, dia akan menerima tiga seksaan pedih atau tiga sifat kehinaan. Pertama, sentiasa menangguhkan taubat. Kedua, tidak memiliki sifat reda dan ketiga, malas melakukan amal ibadat. Sebelum ajal tiba, kadang kala seseorang itu ditimpa sakit atau kemalangan sebagai sebab musababnya. Perkara ini sengaja ditetapkan Allah sebagai peringatan.

Demikian juga Allah mahu menguji hamba- Nya sama ada mereka melengkapkan diri dengan bekalan takwa dan iman atau masih leka dan lalai.

INTI PATIUntuk menilai sejauh mana keikhlasan dan kebaikan amalan yang dikerjakan ketika hidup di dunia ini. Ada sesetengah manusia yang melakukan sesuatu amalan hanya semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Untuk membuktikan bahawa Allah, Maha Berkuasa mematikan manusia dan makhluk yang lain tanpa mengira rupa bangsa, pangkat, tempat, masa dan ketika.Untuk menyedarkan manusia daripada terus lalai dan lupakan Allah serta kedatangan hari kiamat kerana segala kesenangan dan kemewahan yang melimpah ruah.

Untuk menggalakkan manusia supaya sentiasa berbuat amal kebajikan dan menjauhi segala kejahatan. Untuk menyedarkan manusia bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara, sedangkan kehidupan di akhirat adalah yang lebih baik dan kekal."

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Blog ini menukilkan pendapat tuan blog.. disamping beberapa artikel dirasa menarik.. diharapkan blog ini mampu memberi kebaikan kepada pengunjung

About This Blog

BLOG PENKONGSIAN ILMU DISAMPING INGAT MENGINGATI

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP