Thursday, October 22, 2009

Menulis kerana memberi


salam sahabat, disini saya ingin menukilkan satu artikel yang saya petik daripada surat khabar harakah. walaupun mungkin ada sesetengah pembaca blog ini mempunyai pesepsi terhadap akhbar ini. Namun bagi saya ambil apa-apa yang baik dan tinggal apa-apa yang tidak baik, teringat kata-kata ulamak:

"Hikmah adalah barang yang tercicir dari orang Mukmin,barang siapa menjumpainya maka ia berhak untuk mendapatkannya"..

"lihatlah apa yang dikatakan bukan melihat siapa yang berkata"


Niat saya menulis hanya satu...

Azamin Amin
Mon | Oct 19, 09 | 2:45:00 pm MYT

Jika hanya seorang daripada 150,000 orang pembaca Harakah dan Harakahdaily mendapat manfaat darinya, saya memanjat syukur ke hadrat Allah kerana niat saya selama ini telah dikabulkan.





Itulah cita-cita saya ketika mula-mula menggalang tugas wartawan kira-kira empat tahun lalu. Tidak lebih dari itu.

Saya pun tidak menyangka dan merancang untuk memikul tanggungjawab itu, tambahan pula bukan ada kemahiran selok belok jurusan dan bidang yang diceburi berbanding rakan-rakan yang lain yang jauh lebih mahir, ada kelulusan dan berpengalaman luas apatah lagi tokoh-tokoh hebat penulis ternama.

Ianya datang tanpa diduga dan akhbar Harakah yang pernah saya tatap ketika berusia 15 tahun, adalah tempat saya bernaung kini.

Ketika itu, tahun 1990 saya bersekolah asrama di Ipoh, Perak. Saya masih ingat ketika membaca Harakah di dalam kelas sementara menunggu guru tiba. Begitu asyik, sehingga guru muncul dari belakang, tidak disedari. Dengan tidak semena-mena guru itu merampas akhbar tersebut lalu melemparkannya ke atas meja.

"Toksah kawan dengan dia. Dia ni pembangkang!" kata guru saya dengan tegas.

Saya hanya tersenyum simpul laksana pengantin. Tak rasa tertekan atau marah langsung, sungguhpun kawan-kawan semua bersorak-sorai di belakang saya. Dan kini ramai kawan-kawan memberi sokongan, bahkan sanggup berkorban jauh lebih hebat dari saya.

Sebenarnya untuk saya 'tiba' ke Harakah, saya terpaksa melintasi kepayahan susur-galur kehidupan mencabar dan memeritkan. Hikmah Allah sahaja mengetahui.

Barangkali, hemat saya, Allah mahu saya tahu dan rasai apa itu kemiskinan dan penghinaan malah mengenali cebis-cebis lorong hitam, kedurjanaan lembah hina, ganja, gagak hitam, geng, gaduh dan kelab malam sebelum 'dibersihkan' di Harakah.

Allah jua pernah 'membawa' saya ke pondok pengajian agama, untuk mengecapi nikmat ilmu kalam-Nya supaya boleh menjadi pendinding kehidupan dunia dan abadi selamanya.

Sebenarnya, catatan atau tulisan artikel yang saya adalah untuk dikongsikan bersama supaya ramai yang mendapat manfaat. Dahulu, ada juga bercita-cita untuk menjadi 'motivator' seperti pakar-pakar yang tersohor atau sekadar penyuntik semangat kepada yang lain.

Kerana apa?

Kerana, saya ingin membantu sesiapa yang kecundang minda dan semangat untuk terus bangkit menghadapi ataupun melawan cabaran yang mendatang.

Untuk membantu dengan harta, saya tidak mampu. Untuk menolong dengan ilmu, rasanya masih naif dan dangkal lagi. Yang mampu hanya, mencebiskan lingkaran pengalaman semata-mata.

Motivasi bekas penagih

Kehidupan saya tidaklah sesenang mana namun ada yang jauh lebih susah daripada saya. Saya rasa, dengan cara kita membantu orang, kita juga membantu diri kita sendiri sebenarnya, bahkan akan memperoleh kebahagiaan dunia dan di akhirat.

Percayalah... dan akan saya cerita kisah bantu-membantu ini, di penulisan yang lain.

Dulu permohonan saya untuk 'belajar' menjadi motivator di sebuah syarikat konsultan terkenal pernah ditolak mentah-mentah, memandangkan siapalah saya...

Ya baru saya perasan, bahawa dunia dan masyarakat mahu tahu 'siapa' saya dan apa kehebatan dan latar belakang saya, sebelum membuahkan tutur bicara atau mula 'memandai-mandai' menasihatkan orang!

Selepas tamat persekolah tingkatan lima, saya bersama seorang rakan berhasrat memulangkan kembali jasa baik sekolah mendidik saya, dengan cara memberi kursus motivasi secara percuma dan menyuntik inspirasi kepada para pelajar.

Tapi apa kan daya, niat baik itu ditolak mentah-mentah juga oleh pihak pentadbiran sekolah, kerana 'siapa' saya untuk berkata-kata...

Walaupun sekolah, syarikat atau orang lain tidak memberi peluang kepada saya, tetapi Allah jualah memberi peluang kepada saya selama setahun untuk 'memotivasi' 7 orang bekas penagih dadah di pondok saya melanjutkan pelajaran..

Usia mereka di lingkungan 27 sehingga 45 tahun dan rata-ratanya sukar mengenali "Alif Ba Ta' apatah lagi untuk membaca al-Quran. Namun sedaya upaya saya lakukan kerana Tuhan telah memakbulkan cita-cita.

Hasilnya hanya seorang daripada mereka berjaya melepasi ketagihan yang amat dan menjadi orang yang berguna manakala selebihnya kecundang semula.

Berita yang saya terima seorang telah meninggal dunia akibat kesan ketagihan dadah, dua orang sedang menghadapi tuduhan membunuh, seorang pernah ditemui berpeleseran di kaki sampah.

Sedih juga, kerana saya tidak berjaya mencapai hajat untuk memulihkan mereka. Tetapi, bukan semua atas kemampuan saya kerana, yang paling hebat ialah urusan Allah swt.

Bila dikenang kisah Nabi Isa a.s yang berdakwah sepanjang hayatnya, tidak sampai 20 orang yang taat dan menjadi pengikutnya, maka hati saya reda semula. Apatah lagi saya, hamba biasa yang serba kekurangan ini.

Kemudian ketika berkerja di Harakah, Allah beri 'peluang' saya mengajar 'Harfiah' di sebelah malam dan selama setahun saya sempat mencebiskan sedikit ilmu kalam Allah kepada 6 orang pelajar terdiri daripada wanita-wanita berusia sebaya bonda saya.

Itulah antara kepuasan yang Allah berikan yang secara tidak langsung sekaligus menjadi motivator tak bertauliah.

Dengan cara saya mengajar dan membantu orang, saya perolehi pelbagai rahmat Allah yang tidak saya duga, baik dari segi rezeki, kesihatan dan masa depan yang begitu baik.

Ada orang bertanya saya, apa yang saya dapat sedangkan diri sendiri pun ada masalah malah semua orang ada masalah?

"Selesaikan dulu hidup awak sebelum nak bantu orang lain....," itulah kata-kata pelemah semangat yang saya terima.

Bagi saya, jika kita berusaha membantu orang lain dengan cara dan kemampuan kita, insya-Alah masalah-masalah yang kita hadapi, Allah akan selesaikan dengan mudah tanpa kita sedari...percayalah....


Ulasan dan pandangan

Bagi pandangan saya (tuan blog) kisah yang dicerita banyak pengajaran yang boleh kita ambil, lihatlah semua kesusahan dan pahit maung yang kita perolehi merupakan madrasah untuk kita membuat persediaan untuk cabaran hidup yang akan datang. Saya tertarik dengan:

kerana 'siapa' saya untuk berkata-kata..

Perkataan yang agak sinis kepada kita yang bakal menghadapai cabaran.akan datang yang lebih mencabar sedang bekalan ilmu hanya sedikit dan bagaimana orang akan mempercayai kita sedangkan mereka tidak mengetahui siapa kita. Jadi perlulah kita mempelengkapan diri kita dengan pelbagai ilmu. Sebenar walaupun banyak peluang seolah-olah kita tidak perolehi dek kerana kita tidak mengharapkan redha manusia cuma redha Allah yang kita harapkan, yakinlah Allah akan member peluang yang lebih baik kepada kita.

Selain itu, perlu kita ingatkan, walaupun usaha kita tidak mendapat sambutan daripada mad;u kita cukuplah dengan usaha kita dapat membuka dan memberi kefahaman kepada mereka. Namun sunnahtullah perlu kita ambil berat, iaitu kerjayaan perlu dengan usaha dan bersistematik. Dan akhirnya saya tertarik dengan ungkapan akhir artikel tersebut;

Bagi saya, jika kita berusaha membantu orang lain dengan cara dan kemampuan kita, insya-Alah masalah-masalah yang kita hadapi, Allah akan selesaikan dengan mudah tanpa kita sedari...percayalah....

sumber:

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=022931&Itemid=85



0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Blog ini menukilkan pendapat tuan blog.. disamping beberapa artikel dirasa menarik.. diharapkan blog ini mampu memberi kebaikan kepada pengunjung

About This Blog

BLOG PENKONGSIAN ILMU DISAMPING INGAT MENGINGATI

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP