Wednesday, April 29, 2009

Kekuatan kita yang dilupai?


Sedarkah kita?

Sedarkah kita umat islam kita mempunyai eleman kekuatan yang ampuh. Dan eleman kekuatan ini sebenar senjata yang paling kuat untuk mengangkat martabat umat islam diseluruh dunia. Namun eleman ini tidak digarap dan tidak digabungkan dengan strategi dan menilai melalui ketakwaan kepada Allah menyebabkan kita rugi hingga ke hari ini. Di sini beberapa eleman yang mungkin boleh kita nilai sebagai kekuatan kita:

1. Umat islam yang ramai melebihi 1 bilion. Bertaburan diseluruh Negara. Merupakan eleman kekuatan. Namun tidak dinafikan bahawa rasulullah pernah bersabda bahawa umat yang ramai seperti buih dilaut dan tidak member manfaat kepada Islam. Mempunyai kuantiti tetapi kualiti yang mengecewakan.

2. Punca kekuatan dan sumber ada di negara Islam.Kekayaan bahan mentah kebanyakan terdapat di negara Islam. Lihatlah sumber minyak, kelapa sawit, getah dan banyak lagi eleman lain yang wujud dinegara Islam. Cuba bayangkan Negara Islam memberhentikan sebulan bekalan minyak ke Barat. Apakah akan terjadi? Sudah tentunya mereka akan bergelap. Ini menunjukan kita mempunyai kekuatan yang paling ampuh.

3. Sebahagian Negara islam ada ditengah-tengah peta dunia. Serentak dengan itu kaabah ditengah dunia dan tempat paling strategik.

4. Hampir seluruh perairan dunia melalui Negara islam. Inikan merupakan sesuatu kekuatan

5. Wujud dinegara islam satu gelombang dan lendakan baru iaitu melalui kesedaran. Hancurnya ideologi yang bukan berteras Islam. Kebanyakan pengkaji barat menyatakan Negara Islam tidak ada Salahuddin yang kedua yang boleh mengarap ke lima-lima aspek kekuatan tersebut. Dan ini sangat-sangat dibimbangi oleh barat.

Kedududkan kita

Walaupun secara dasarnya Islam tidak mengalakkan kita berdakwah secara kekerasan namun pada masa tertentu islam meletakkan prinsip selagimana mentod tersebut tidak menjatuh dan menghina syariah Islam. Yang penting kita meletakkan redha Allah lebih baik daripada redha manusia. Cuba kita lihat bagaimana sirah Rasulullah s.a.w jika baginda tidak berdakwah iaitu mengajak kepada Islam baginda akan diterima seluruh masyarakat Quraish pada masa itu. Namun apa gunanya redha manusia dalam keadaan tuhan mungkar. Sedangkan bapa saudara beliau sendiri sepatuhnya bangga kerana baginda anak saudaranya namun disebabkan takut kedudukan mereka tergugat Abu Jahal sanggup menentang nabi.

Kesimpulan

Kita lihat kenapa umat Islam semakin jauh dengan rahmatnya sedangkan Islam itu membawa rahmat, ini kerana kita sukar meninggalkan sesuatu yang kita tahu salah, sebagai contoh perkara kurafat dan bidaah, seperti mandi safar yang mengambil masa lama untuk dihapuskan. Malahan apa yang kebanyakan kita melihat Islam itu menghalang cita-cita nafsu kita. Malahan ada setengah kita yang kusyuk didalam masjid namun tidak membawa keimanan itu kedalam kehidupan kita sebagai contoh sanggup kita memakan riba walaupun tahu riba itu salah. Justeru sama kita muhasabah diri kita dimana letaknya iman dihati kita adakah iman hanya dalam soal ibadat kursus kita semata-mata? Bukankah disitu terdapat nilai-nilai sekular dalam hidup kita? Dan cuba kita lihat adakah iman kita hanya ada pada syariatullah semata-mata? sedangkan sunnatullah kita ketepikan. Moga kitalah yang benar-benar mengikut jejak langkah rasulullah dalam segenap aspek kehidupan kita bukannya sebagai retorik semata-mata.

waallahualam..


Read more...

Thursday, April 16, 2009

Sultan Muhammad al-Fateh



HADIS RASULULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE



Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”


(Hadis riwayat Imam Ahmad)




Pagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Constantinople dikejutkan dengan laungan takbir, paluan gendang, dan nasyid. Demikian gema kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Sekali gus gema itu seolah-olah satu serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Penduduk Constantinople seperti tidak percaya kekuatan tentara Muhammad al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana tembok setebal 4 lapis, setinggi 25 kaki, dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditembusi oleh tentera Muhammad al-Fateh?




PENGENALAN



Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Ketika berita kelahirannya disampaikan, ayahnya, Sultan Murad II sedang membaca Al Quran tepat pada Surat Al Fath ayat 1:



“Sesungguhnya Kami telah memberikan padamu kemenangan yang nyata.”



Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.



Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.




PENDIDIKAN



Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.



Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.




KEPERIBADIAN



Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja



Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.




PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE



Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.



Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.



Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.




MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE



Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.




Menara Bergerak



Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.




Bantuan Dari Pope Vatican



Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.




http://farm2.static.flickr.com/1254/630273825_348d60571e_b.jpg

rantai merentangi teluk horn

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung



Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.



Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.




Memanjat dan Melastik Dinding Kota



Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.




Karisma Seorang Pemimpin



Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.



Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.




Penawanan Constantinople



Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.




SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA



Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.



Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.



Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.



IKtibar


1. Hubungan dengan Allah menjadi kekuatan utama kejayaan

2. Persiapan yang rapi dan strategi yang mantap perlu dititik berat

3. Islam bukan berkembang atas dasar kekerasan tetapi pendamaian

4. Dakwah dan penyebaran Islam atas tanggungjawab kita



Rujukan lanjut

· Sultan Muhammad al-Fateh-penakluk konstantinopel 2008, Abdul Latif Talib, PTS fontuna.

·http://satuperkongsian.wordpress.com/2007/06/26/sultan-muhammad-al-fateh-dan-pembukaan-costantinople/

· http://tokoh1038.blogspot.com/2005/08/sultan-muhammad-al-fateh.html

·http://easternearth.wordpress.com/2007/09/29/sultan-muhammad-al-fateh-pemimpin-yang-dijanjikan/


sebuah lagi buku akan muncul 29 Mei berkaitan dengan sulta Muhammad al-Fateh tajuk "Kuasa Kepimpinan al-Fateh"

Read more...

Wednesday, April 8, 2009

Kenapa mahu jadi ustaz..

Hari ini saya dikelilingi oleh pelbagai reaksi masyarakat terhadap golongan ustaz. Isunya adalah tentang pelaburan internet.

Apa yang ada kebelakangan ini adalah peperangan tidak sekufu di antara tokoh-tokoh yang specialized dalam bidang ini seperti sahabat saya al-Fadhil Ustaz Haji Zaharuddin Abdul Rahman, dan dituruti dengan fatwa beberapa mufti, hinggalah kepada reaksi rasmi Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya katakan tidak sekufu, kerana peperangan itu bukan di antara hujah berbalas hujah. Tetapi hujah berbalas amarah dan emosi yang tidak sudah-sudah.

Kesan perbalahan ini, adalah seperti golongan ustaz membuka pekung di dada sendiri. Bak kata Ustaz Ismail Kamus suatu ketika dahulu, “kalau diam tak pasti bagaimana, bila bercakap comfirmed bodoh!”

Saya enggan membabitkan diri dalam pertikaian ini, walaupun dalam hati ada rasa terkilan melihat usaha menyelamatkan masyarakat dari terjebak dengan sesuatu yang haram, diperlekehkan oleh isu umur dan senioriti, siapa dia, apa kelayakan dia, dan tidak segan untuk membelakangkan terus hujah-hujah yang terdiri dari kalam Allah dan Rasul-Nya, serta pandangan Ulama’ yang mewarisi amanah para Nabi. Alangkah baiknya kalau hujah dipertikaikan dengan hujah yang lebih rasional, kerana itulah tradisi keilmuan Islam selama-lamanya.

Seperti yang saya katakan tadi, biarlah isu ini diselesaikan oleh mereka yang ahli di dalamnya.

MENGAPA RAMAI USTAZ TERLIBAT

Namun, apa yang ingin saya perkatakan adalah satu sudut lain terhadap isu ini, iaitu mengapakah begitu ramai ustaz yang terlibat dengan pelaburan internet dan kes-kes yang seumpama dengannya? Sehingga menjadi kesulitan kepada masyarakat untuk mempertimbangkan hal ini secara rasional, lantaran ramai ‘ustaz kami’ yang menyertainya.

Bukan hanya terserlah pada debat maya, malah saya sendiri seringkali didatangi oleh rakan sejenis saya (para ustaz) yang tanpa segan silu mengajak saya menyertai skim pelaburan internet, dengan hujah “ada ustaz kata boleh”�. Habis, siapa saya dan siapa dia ketika dia berkata “�ada ustaz kata boleh”�. Kalau cerek dan belanga, mungkin sudah berasap-asap tekanan kepala yang terhambur. Namun saya sabarkan diri dan berkelakuan bodoh agar tidak memperbodohkan “ustaz”yang sedang duduk di hadapan saya.

Isu utama saya di sini ialah mengapakah ramai ustaz terlibat? Mengapa ramai ustaz yang ‘menjual diri’?

Sabarkan diri seketika, ketepikan kekecewaan saya dan kita semua terhadap kerenah mereka, namun bantulah saya untuk berfikir mengapakah ramai ustaz terlibat di dalam masalah ini?

MENCARI KERJA

Setahun pertama sekembalinya saya ke Malaysia, saya berlanggan dengan hampir semua portal yang menyediakan khidmat mencari pekerjaan. Saya pulang ke Malaysia dalam keadaan yang agak gementar kerana usia sudah mencecah hampir 30 pada ketika itu. Usia ini bermaksud, saya tidak boleh bekerja secara cuba-cuba. Tanggungan sudah besar, dan memilih pekerjaan yang betul adalah sangat kritikal.

Apa yang menjadi hambatan saya ketika itu, bukanlah soal memilih pekerjaan. Tetapi tiada pekerjaan untuk dipilih. Dalam tempoh setahun saya melanggan jobstreet.com dan lain-lain, tidak sampai 20 tawaran pekerjaan yang diiklankan, berkaitan dengan kelulusan seperti saya iaitu di bidang Syariah.

Ia saya catatkan tanpa mengambil kira iklan jawatan “guru”. Memang tidak dinafikan, ada J-QAF, dan ada KPLI. Sesekali apabila mendekati bulan Mei dan Jun, ada iklan kerja sebagai penterjemah Bahasa Arab untuk hotel-hotel di Genting Highlands.

Tetapi bayangkan sahaja, graduan yang dihasilkan setiap tahun oleh Akademi Islam Universiti Malaya, FPI UKM, IRK UIAM (sekadar menyebut beberapa nama), di samping Universiti Kolej dan Kolej-kolej yang menawarkan pengajian Islam di seluruh Malaysia. Hitunglah pula berapa ramai yang dikeluarkan oleh Al-Azhar di Mesir, Jordan, Yaman, Syria, Sudan, Arab Saudi, Pakistan, Maghribi juga United Kingdom.

Nisbah peluang pekerjaan para ustaz ini, dengan jumlah mereka yang masuk ke alam pekerjaan, jurangnya merisaukan saya.

Berbekalkan kelulusan dan pengalaman bekerja di luar negara sekali pun, saya memulakan kerja pertama saya di Malaysia dengan gaji pokok hanya RM1000 sebulan. Walaupun berat, dan habis sekelip mata apabila sewa rumah dan bil dibayar, ia masih baik berbanding ramai lagi ustaz dan ustazah yang bekerja dengan gaji yang lebih rendah dari itu. Saya perlu bekerja keras untuk menyelesaikan keperluan hidup, dan mendekatkan jarak gaji saya dengan isteri. Ia suatu perjuangan untuk keperluan, dan maruah diri.

Tetapi bagaimana pula dengan graduan-graduan Syariah yang lain? Ke mana perginya mereka?

MENGUNDANG KEENGKARAN

Sesungguhnya tekanan hidup bagi graduan pengajian Islam bukanlah suatu isu yang boleh diremeh-temehkan.

Kita boleh mengambil sikap mentertawakan sesetengah ustaz yang mengambil jalan pintas. Ada yang menukar prinsip politik untuk ‘cari makan’. Dan nah, apabila munculnya MLM seperti cendawan selepas hujan, dan skim pelaburan sehebat yang ada, saya tidak hairan seorang ustaz yang sedang menggaru kepala memikirkan susu dan lampin anaknya akan terjebak tanpa mahu menyiasat dalam-dalam.

“Hampir-hampir sahaja kefakiran itu menghasilkan kekufuran”

Walaupun atsar yang diriwayatkan dari Umar Radhiyallahu ‘anhu ini dihukum sebagai dhaif oleh kebanyakan ahli hadith yang saya ketahui, namun jangan dipejamkan maknanya dari realiti masyarakat.

Sudah tentu, dengan ilmu Syariah di dada dan helaian ijazah serta diploma, sepatutnya ia menjadi benteng Taqwa untuk bertahan di jalan yang lurus. Itulah yang sepatutnya. Namun kemiskinan dan tekanan hidup pemegang kelulusan pengajian Islam (seorang manusia yang manusia)… adalah fenomena yang boleh menghasilkan 1001 penyakit di dalam masyarakat.

Penyakit paling ringan, adalah hilangnya peranan mereka sebagai guru masyarakat. Penyakit paling berat, setelah tidak berperanan sebagai guru, mereka berubah menjadi perosak masyarakat. Ya, kefakiran boleh mencetuskan apa sahaja.

Seperti yang saya katakan tadi, kita boleh ketawakan para ustaz ini, memaki hamun dan menyindir mereka sebagai ular dalam semak, dan bukannya ulamak. Kita boleh berkata apa sahaja tentang mereka, tetapi semua itu adalah tindakan reaktif yang TIDAK MENGHASILKAN PENYELESAIAN.

Amat berat untuk saya menulis tentang ini kerana MARAH saya jauh lebih besar berbanding dengan SIMPATI. Namun sebagai seorang da’ie, dengan sekelumit simpati itulah, saya cuba mencari jalan keluarnya.

MENYELAMATKAN GENERASI PELAPIS

Bagi pelajar yang menyambung pengajian di bidang Sunnatullah seperti perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan lain-lain, saya ada akses yang agak baik kepada mereka. Alhamdulillah, saya bersama team di dalam Kelab Rakan Intelek Muda, kami panggil balik sahabat-sahabat lama yang sudah menjadi doktor pakar, ketua jabatan di IPT dan lain-lain, untuk turun bersama mengadakan sesi kursus bagi pelajar di kolej persediaan.

Bersama pelajar ke UK, Eire dan USA di dalam Eco-Camp Anjuran KRIM

Kami hidangkan kepada pelajar-pelajar ini, realiti sebenar dunia pekerjaan mereka nanti. Biar soal Begin With the End in Mind mereka cukup optimum agar mereka melangkah ke universiti dengan visi dan misi yang TEPAT dan JELAS.

Tetapi setakat ini saya tiada akses kepada pelapis-pelapis saya sendiri. Bakal-bakal ustaz dan ustazah. Saya mahu berkongsi pengalaman dan nasihat sebagai abang kepada mereka, agar mereka pergi ke kembara ilmu dengan akal, mata dan hati yang celik terhadap masa depan mereka.

KRISIS VISI DAN MISI

Saya amat bimbang, ramai yang mengambil keputusan untuk belajar di bidang agama, mempunyai visi dan misi yang TEPAT, malangnya TIDAK JELAS. Mahu menjadi pewaris Anbiya’, mahu mengubah masyarakat, mahu menjadi da’i yang berisi, semua itu tepat… tetapi tidak jelas. Kerana ia hanya konsep, yang sukar dijelmakan dalam bentuk pekerjaan, demi survival kehidupan kerana manusia hidup dengan makan dan minum, bukan teori dan slogan.

Saya adalah di antara pelajar yang MEMILIH untuk belajar di bidang agama. Saya sudah berada di salah sebuah sekolah yang terbaik di Malaysia. Di dalam kelas aliran Sains yang terbaik yang saya boleh pergi. Tetapi saya telah membuat keputusan (bodoh atau cerdik) untuk beralih ke sekolah asal saya yang serba kekurangan, demi mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang Ulama’. Keputusan dibuat pada tahun 1991.

Kini, kesan keputusan itu boleh dilihat pada tahun 2007. Rakan-rakan sekelas saya dahulu sudah mencapai kejayaan yang layak dengan kebolehan mereka. Pada usia 32 tahun, rakan-rakan saya sudah berumah sendiri, sudah semakin menghampiri fenomena ‘money works for us, and we no longer work for money‘�. Tetapi saya masih melalui kehidupan yang penat dan letih di usia 32 tahun ini. Masih gementar di pertengahan setiap bulan.

Namun tidak sekelumit pun rasa terkilan atau menyesal di hati, meninggalkan ‘dunia’ itu. Saya amat terasa betapa bermaknanya menjadi pelajar di bidang agama secara PILIHAN, dan bukannya KERANA TERPAKSA.

Tetapi perasaan ini tidak terbit secara mudah. Dengan 1001 kepayahan semasa belajar, saya cuba lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar bersedia untuk terjun ke dunia yang serba payah di hadapan saya. Saya kemaskan Bahasa Arab, pertahankan Bahasa Inggeris sebagai alat yang penting, saya tidak jemu belajar ICT, dan paling utama, seperti yang pernah saya sebutkan semasa di Jordan, “setiap seorang daripada kita, mesti specialized dalam sesuatu!”. Jangan pulang ke Malaysia hanya menambah bilangan yang ada, sebaliknya ada keunikan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, dan boleh memberi manfaat kepada diri sendiri.

Belajar bersungguh-sungguh, tidak ponteng kelas, dan cuba yang terbaik, walaupun sesekali kecundang sebagai manusia biasa.

Saya mahu memberitahu adik-adik yang masih menuntut di bangku pengajian Islam, bukakan mata terhadap realiti. Jangan berebut mengejar J-QAF dan KPLI kerana berapa sangat guru agama yang diperlukan di sebuah sekolah. Lengkapkanlah diri dengan semua ilmu, kemahiran dan maklumat yang ada agar anda masuk ke dunia pekerjaan dengan multi skill.

Dan yang terlebih penting, gilaplah sikap-sikap positif dan profesional di dalam diri. Ketika para profesional berebut menjadi ‘protaz’, malang sekali apabila saya hendak menyebut ‘Kepimpinan Ulama’ pun, tersekat di kerongkong. Bagaimana Ulama’ mahu memimpin masyarakat hari ini, jika kita penuh dengan rendah diri, serba faqir dan dha’if, lantas akhirnya menjadi mangsa perangkap skim pelaburan internet, MLM jenis yang tidak syar’ie, menjual Insurans yang tidak Islamik dan seterusnya menjadi fitnah kepada agama yang kita perjuangkan semasa di alam ada biasiswa dan elaun dulu

LALAT

Saya takut, golongan agama di akhir zaman, semakin menjadi seperti lalat yang muncul di mana-mana sahaja ada makanan dan bangkai. Bila ada kenduri, barulah orang agama ada gunanya, untuk baca doa. Dan bila ada orang mati, barulah orang agama ada gunanya, untuk doa dan kenduri arwah.

Pastikan anda ada visi dan misi yang TEPAT….. dan JELAS!!!

Saya doakan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Blog ini menukilkan pendapat tuan blog.. disamping beberapa artikel dirasa menarik.. diharapkan blog ini mampu memberi kebaikan kepada pengunjung

About This Blog

BLOG PENKONGSIAN ILMU DISAMPING INGAT MENGINGATI

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP