There was an error in this gadget

Wednesday, April 8, 2009

Kenapa mahu jadi ustaz..

Hari ini saya dikelilingi oleh pelbagai reaksi masyarakat terhadap golongan ustaz. Isunya adalah tentang pelaburan internet.

Apa yang ada kebelakangan ini adalah peperangan tidak sekufu di antara tokoh-tokoh yang specialized dalam bidang ini seperti sahabat saya al-Fadhil Ustaz Haji Zaharuddin Abdul Rahman, dan dituruti dengan fatwa beberapa mufti, hinggalah kepada reaksi rasmi Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya katakan tidak sekufu, kerana peperangan itu bukan di antara hujah berbalas hujah. Tetapi hujah berbalas amarah dan emosi yang tidak sudah-sudah.

Kesan perbalahan ini, adalah seperti golongan ustaz membuka pekung di dada sendiri. Bak kata Ustaz Ismail Kamus suatu ketika dahulu, “kalau diam tak pasti bagaimana, bila bercakap comfirmed bodoh!”

Saya enggan membabitkan diri dalam pertikaian ini, walaupun dalam hati ada rasa terkilan melihat usaha menyelamatkan masyarakat dari terjebak dengan sesuatu yang haram, diperlekehkan oleh isu umur dan senioriti, siapa dia, apa kelayakan dia, dan tidak segan untuk membelakangkan terus hujah-hujah yang terdiri dari kalam Allah dan Rasul-Nya, serta pandangan Ulama’ yang mewarisi amanah para Nabi. Alangkah baiknya kalau hujah dipertikaikan dengan hujah yang lebih rasional, kerana itulah tradisi keilmuan Islam selama-lamanya.

Seperti yang saya katakan tadi, biarlah isu ini diselesaikan oleh mereka yang ahli di dalamnya.

MENGAPA RAMAI USTAZ TERLIBAT

Namun, apa yang ingin saya perkatakan adalah satu sudut lain terhadap isu ini, iaitu mengapakah begitu ramai ustaz yang terlibat dengan pelaburan internet dan kes-kes yang seumpama dengannya? Sehingga menjadi kesulitan kepada masyarakat untuk mempertimbangkan hal ini secara rasional, lantaran ramai ‘ustaz kami’ yang menyertainya.

Bukan hanya terserlah pada debat maya, malah saya sendiri seringkali didatangi oleh rakan sejenis saya (para ustaz) yang tanpa segan silu mengajak saya menyertai skim pelaburan internet, dengan hujah “ada ustaz kata boleh”�. Habis, siapa saya dan siapa dia ketika dia berkata “�ada ustaz kata boleh”�. Kalau cerek dan belanga, mungkin sudah berasap-asap tekanan kepala yang terhambur. Namun saya sabarkan diri dan berkelakuan bodoh agar tidak memperbodohkan “ustaz”yang sedang duduk di hadapan saya.

Isu utama saya di sini ialah mengapakah ramai ustaz terlibat? Mengapa ramai ustaz yang ‘menjual diri’?

Sabarkan diri seketika, ketepikan kekecewaan saya dan kita semua terhadap kerenah mereka, namun bantulah saya untuk berfikir mengapakah ramai ustaz terlibat di dalam masalah ini?

MENCARI KERJA

Setahun pertama sekembalinya saya ke Malaysia, saya berlanggan dengan hampir semua portal yang menyediakan khidmat mencari pekerjaan. Saya pulang ke Malaysia dalam keadaan yang agak gementar kerana usia sudah mencecah hampir 30 pada ketika itu. Usia ini bermaksud, saya tidak boleh bekerja secara cuba-cuba. Tanggungan sudah besar, dan memilih pekerjaan yang betul adalah sangat kritikal.

Apa yang menjadi hambatan saya ketika itu, bukanlah soal memilih pekerjaan. Tetapi tiada pekerjaan untuk dipilih. Dalam tempoh setahun saya melanggan jobstreet.com dan lain-lain, tidak sampai 20 tawaran pekerjaan yang diiklankan, berkaitan dengan kelulusan seperti saya iaitu di bidang Syariah.

Ia saya catatkan tanpa mengambil kira iklan jawatan “guru”. Memang tidak dinafikan, ada J-QAF, dan ada KPLI. Sesekali apabila mendekati bulan Mei dan Jun, ada iklan kerja sebagai penterjemah Bahasa Arab untuk hotel-hotel di Genting Highlands.

Tetapi bayangkan sahaja, graduan yang dihasilkan setiap tahun oleh Akademi Islam Universiti Malaya, FPI UKM, IRK UIAM (sekadar menyebut beberapa nama), di samping Universiti Kolej dan Kolej-kolej yang menawarkan pengajian Islam di seluruh Malaysia. Hitunglah pula berapa ramai yang dikeluarkan oleh Al-Azhar di Mesir, Jordan, Yaman, Syria, Sudan, Arab Saudi, Pakistan, Maghribi juga United Kingdom.

Nisbah peluang pekerjaan para ustaz ini, dengan jumlah mereka yang masuk ke alam pekerjaan, jurangnya merisaukan saya.

Berbekalkan kelulusan dan pengalaman bekerja di luar negara sekali pun, saya memulakan kerja pertama saya di Malaysia dengan gaji pokok hanya RM1000 sebulan. Walaupun berat, dan habis sekelip mata apabila sewa rumah dan bil dibayar, ia masih baik berbanding ramai lagi ustaz dan ustazah yang bekerja dengan gaji yang lebih rendah dari itu. Saya perlu bekerja keras untuk menyelesaikan keperluan hidup, dan mendekatkan jarak gaji saya dengan isteri. Ia suatu perjuangan untuk keperluan, dan maruah diri.

Tetapi bagaimana pula dengan graduan-graduan Syariah yang lain? Ke mana perginya mereka?

MENGUNDANG KEENGKARAN

Sesungguhnya tekanan hidup bagi graduan pengajian Islam bukanlah suatu isu yang boleh diremeh-temehkan.

Kita boleh mengambil sikap mentertawakan sesetengah ustaz yang mengambil jalan pintas. Ada yang menukar prinsip politik untuk ‘cari makan’. Dan nah, apabila munculnya MLM seperti cendawan selepas hujan, dan skim pelaburan sehebat yang ada, saya tidak hairan seorang ustaz yang sedang menggaru kepala memikirkan susu dan lampin anaknya akan terjebak tanpa mahu menyiasat dalam-dalam.

“Hampir-hampir sahaja kefakiran itu menghasilkan kekufuran”

Walaupun atsar yang diriwayatkan dari Umar Radhiyallahu ‘anhu ini dihukum sebagai dhaif oleh kebanyakan ahli hadith yang saya ketahui, namun jangan dipejamkan maknanya dari realiti masyarakat.

Sudah tentu, dengan ilmu Syariah di dada dan helaian ijazah serta diploma, sepatutnya ia menjadi benteng Taqwa untuk bertahan di jalan yang lurus. Itulah yang sepatutnya. Namun kemiskinan dan tekanan hidup pemegang kelulusan pengajian Islam (seorang manusia yang manusia)… adalah fenomena yang boleh menghasilkan 1001 penyakit di dalam masyarakat.

Penyakit paling ringan, adalah hilangnya peranan mereka sebagai guru masyarakat. Penyakit paling berat, setelah tidak berperanan sebagai guru, mereka berubah menjadi perosak masyarakat. Ya, kefakiran boleh mencetuskan apa sahaja.

Seperti yang saya katakan tadi, kita boleh ketawakan para ustaz ini, memaki hamun dan menyindir mereka sebagai ular dalam semak, dan bukannya ulamak. Kita boleh berkata apa sahaja tentang mereka, tetapi semua itu adalah tindakan reaktif yang TIDAK MENGHASILKAN PENYELESAIAN.

Amat berat untuk saya menulis tentang ini kerana MARAH saya jauh lebih besar berbanding dengan SIMPATI. Namun sebagai seorang da’ie, dengan sekelumit simpati itulah, saya cuba mencari jalan keluarnya.

MENYELAMATKAN GENERASI PELAPIS

Bagi pelajar yang menyambung pengajian di bidang Sunnatullah seperti perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan lain-lain, saya ada akses yang agak baik kepada mereka. Alhamdulillah, saya bersama team di dalam Kelab Rakan Intelek Muda, kami panggil balik sahabat-sahabat lama yang sudah menjadi doktor pakar, ketua jabatan di IPT dan lain-lain, untuk turun bersama mengadakan sesi kursus bagi pelajar di kolej persediaan.

Bersama pelajar ke UK, Eire dan USA di dalam Eco-Camp Anjuran KRIM

Kami hidangkan kepada pelajar-pelajar ini, realiti sebenar dunia pekerjaan mereka nanti. Biar soal Begin With the End in Mind mereka cukup optimum agar mereka melangkah ke universiti dengan visi dan misi yang TEPAT dan JELAS.

Tetapi setakat ini saya tiada akses kepada pelapis-pelapis saya sendiri. Bakal-bakal ustaz dan ustazah. Saya mahu berkongsi pengalaman dan nasihat sebagai abang kepada mereka, agar mereka pergi ke kembara ilmu dengan akal, mata dan hati yang celik terhadap masa depan mereka.

KRISIS VISI DAN MISI

Saya amat bimbang, ramai yang mengambil keputusan untuk belajar di bidang agama, mempunyai visi dan misi yang TEPAT, malangnya TIDAK JELAS. Mahu menjadi pewaris Anbiya’, mahu mengubah masyarakat, mahu menjadi da’i yang berisi, semua itu tepat… tetapi tidak jelas. Kerana ia hanya konsep, yang sukar dijelmakan dalam bentuk pekerjaan, demi survival kehidupan kerana manusia hidup dengan makan dan minum, bukan teori dan slogan.

Saya adalah di antara pelajar yang MEMILIH untuk belajar di bidang agama. Saya sudah berada di salah sebuah sekolah yang terbaik di Malaysia. Di dalam kelas aliran Sains yang terbaik yang saya boleh pergi. Tetapi saya telah membuat keputusan (bodoh atau cerdik) untuk beralih ke sekolah asal saya yang serba kekurangan, demi mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang Ulama’. Keputusan dibuat pada tahun 1991.

Kini, kesan keputusan itu boleh dilihat pada tahun 2007. Rakan-rakan sekelas saya dahulu sudah mencapai kejayaan yang layak dengan kebolehan mereka. Pada usia 32 tahun, rakan-rakan saya sudah berumah sendiri, sudah semakin menghampiri fenomena ‘money works for us, and we no longer work for money‘�. Tetapi saya masih melalui kehidupan yang penat dan letih di usia 32 tahun ini. Masih gementar di pertengahan setiap bulan.

Namun tidak sekelumit pun rasa terkilan atau menyesal di hati, meninggalkan ‘dunia’ itu. Saya amat terasa betapa bermaknanya menjadi pelajar di bidang agama secara PILIHAN, dan bukannya KERANA TERPAKSA.

Tetapi perasaan ini tidak terbit secara mudah. Dengan 1001 kepayahan semasa belajar, saya cuba lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar bersedia untuk terjun ke dunia yang serba payah di hadapan saya. Saya kemaskan Bahasa Arab, pertahankan Bahasa Inggeris sebagai alat yang penting, saya tidak jemu belajar ICT, dan paling utama, seperti yang pernah saya sebutkan semasa di Jordan, “setiap seorang daripada kita, mesti specialized dalam sesuatu!”. Jangan pulang ke Malaysia hanya menambah bilangan yang ada, sebaliknya ada keunikan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, dan boleh memberi manfaat kepada diri sendiri.

Belajar bersungguh-sungguh, tidak ponteng kelas, dan cuba yang terbaik, walaupun sesekali kecundang sebagai manusia biasa.

Saya mahu memberitahu adik-adik yang masih menuntut di bangku pengajian Islam, bukakan mata terhadap realiti. Jangan berebut mengejar J-QAF dan KPLI kerana berapa sangat guru agama yang diperlukan di sebuah sekolah. Lengkapkanlah diri dengan semua ilmu, kemahiran dan maklumat yang ada agar anda masuk ke dunia pekerjaan dengan multi skill.

Dan yang terlebih penting, gilaplah sikap-sikap positif dan profesional di dalam diri. Ketika para profesional berebut menjadi ‘protaz’, malang sekali apabila saya hendak menyebut ‘Kepimpinan Ulama’ pun, tersekat di kerongkong. Bagaimana Ulama’ mahu memimpin masyarakat hari ini, jika kita penuh dengan rendah diri, serba faqir dan dha’if, lantas akhirnya menjadi mangsa perangkap skim pelaburan internet, MLM jenis yang tidak syar’ie, menjual Insurans yang tidak Islamik dan seterusnya menjadi fitnah kepada agama yang kita perjuangkan semasa di alam ada biasiswa dan elaun dulu

LALAT

Saya takut, golongan agama di akhir zaman, semakin menjadi seperti lalat yang muncul di mana-mana sahaja ada makanan dan bangkai. Bila ada kenduri, barulah orang agama ada gunanya, untuk baca doa. Dan bila ada orang mati, barulah orang agama ada gunanya, untuk doa dan kenduri arwah.

Pastikan anda ada visi dan misi yang TEPAT….. dan JELAS!!!

Saya doakan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Blog ini menukilkan pendapat tuan blog.. disamping beberapa artikel dirasa menarik.. diharapkan blog ini mampu memberi kebaikan kepada pengunjung

About This Blog

BLOG PENKONGSIAN ILMU DISAMPING INGAT MENGINGATI

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP